Saturday, February 5, 2011

Syahid [ Terjemahan Hadis Shahih Muslim Jilid I, II, III ,IV ]

1. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1836.
Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Tidak satu pun orang yang telah masuk syurga ingin hendak kembali ke dunia, walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya, kecuali orang-orang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, lalu dia mati (syahid) di dunia sampai sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang mati syahid."
2. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1835.
Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Tidak satu pun orang yang telah mati, pada hal dia telah memperoleh pahala yang menggembirakan di sisi Allah, yang ingin kembali ke dunia sekalipun dunia dan seluruh isinya diberikan kepadanya, kecuali orang yang mati syahid. Orang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, kerana dia ingin sekali lagi sebagai syuhada kerana dia telah melihat bagaimana mulianya mati syahid."
3. Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0091.
Dari Umar bin Khaththab r.a., katanya: "Ketika perang Khaibar sedang berkecamuk, sekelompok sahabat datang kepada Rasulullah saw. Kata mereka, "Si Fulan syahid. Si Fulan syahid! Ketika mereka melalui mayat seorang laki-laki mereka berkata pula, "Si Fulan syahid." Jawab Rasulullah saw., "Sesungguhnya aku melihatnya berada dalam nereka, memakai pakaian yang dicurinya dari harta rampasan yang belum dibagi." Kemudian Rasulullah bersabda, "Hai, anak Khaththab! Beritahukan kepada orang banyak: "Tidak dapat masuk syurga melainkan orang-orang yang beriman." Kata Umar, "Aku keluar, lalu ku serukan kepada orang banyak: "Ketahuilah! Sesungguhnya tidak dapat masuk syurga melainkan orang-orang yang beriman."
4. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1862.
Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang sungguh-sungguh ingin hendak mati syahid, dia akan diberi pahala seperti pahala orang mati syahid, sekalipun dia tidak mengalami mati syahid yang sesungguhnya."
5. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1859.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Natil (bin Odis Al Hazami), seorang penduduk Syam, bertanya kepadanya, "Wahai, Tuan Guru! Ajarkanlah kepada kami hadis yang Anda dengar dari Rasulullah saw." Jawab Abu Humirah, "Baik! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang pertama-tama diadili kelak di hari kiamat, ialah orang mati syahid. Orang itu dihadapkan ke pengadilan, lalu diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diperolehnya, maka dia mengakuinya. Tanya, "Apakah yang engkau perbuat dengan nikmat itu?" Jawab, "Aku berperang untuk agama Allah sehingga aku mati syahid." Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau berperang supaya dikatakan gagah berani. Dan gelar itu telah engkau peroleh." Kemudian dia disuruh seret dengan muka telungkup lalu dilemparkan ke neraka. Kemudian dihadapkan pula orang 'alim yang belajar dan mengajarkan ilmunya serta membaca Al Quran. Dihadapkannya kepadanya nikmat yang telah diperolehnya, semua diakuinya. Tanya, "Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu?" Jawab, "Aku belajar, mengajar, dan membaca Quran kerana Engkau." Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau belajar dan mengajar supaya disebut orang Alim, dan engkau membaca Al Quran supaya dikatakan sebagai Qari (ahli baca). Semua itu telah dipanggilkan orang kepada mu." Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu di lemparkan ke neraka. Sesudah itu dihadap pula orang yang diberi kekayaan oleh Allah dengan berbagai macam harta. Semua kekayaannya dihadapkan kepadanya lalu diingatkan segala nikmat yang telah diperolehnya, ia pun mengakui. Tanya, "Apa yang telah engkau perbuat dengan harta sebanyak itu?" Jawab, "Setiap bidang yang Engkau sukai tidak ada yang ku tinggalkan, melainkan aku sumbang semuanya kerana Engkau." Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau melakukan semuanya itu supaya engkau disebut orang yang pemurah, dan gelar itu telah engkau peroleh." Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu dilemparkan ke neraka.
6. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1844.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Allah Ta'ala tertawa (rela) kepada dua orang lelaki, di mana seorang di antaranya membunuh yang lain, lalu keduanya masuk syurga. Tanya para sahabat, "Bagaimana bisa begitu, ya Rasulullah?" Jawab beliau, "Lelaki yang terbunuh itu mati dalam jihad fi sabilillah, maka dia itu mati syahid. Kemudian si pembunuh taubat kepada Allah Ta'ala, lalu Allah menerima taubatnya. Sesudah itu dia mati pula dalam perang fi sabilillah, maka dia itu mati syahid."
7. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1868.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang lelaki berjalan di sebuah jalan lalu dia menemukan sebuah ranting berduri di tengah jalan maka disingkirkannya ranting itu dengan bersyukur kepada Allah Ta'ala. Allah mengampuni dosanya kerana perbuatannya itu." Beliau bersabda pula, "Para syuhada [orang-orang yang mati syahid] lima macam: (1) Al Math'un, orang-orang yang mati kerana penyakit kolera [penyakit menular atau wabak]. (2) Al Mabthun, orang-orang yang mati kerana sakit perut atau melahirkan. (3) Orang yang mati kerana tenggelam. (4) Orang yang mati kerana ditimpa tanah longsor atau pohon tumbang dan sebagainya. (5) Orang yang mati dalam perang Fi Sabilillah."
8. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1843.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Termasuk kehidupan yang terbaik, iaitu orang-orang yang mempersiapkan hidupnya untuk jihad fi sabilillah [berjuang atau berperang untuk menegakkan agama Allah]. Ia segera melompat ke punggung kuda tatkala mendengar trompet perang dan menunggu komando. Ia segera memacu kudanya ke medan perang mencari kematian [syahid] yang didambakannya. Atau seorang yang tinggal di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, dengan hidup sederhana, ditegakkannya solat, dibayarnya zakat, disembahnya Tuhan terus menerus sampai meninggal, dan tidak pernah merugikan umat manusia, bahkan dia sentiasa berbuat kebajikan terhadap sesamanya."
9. Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0092.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Kami ikut perang Khaibar bersama-sama Rasulullah saw., dan Allah swt. memenangkan kami. Kami tidak merampas emas dan perak. Yang kami rampas ialah harta benda yang lain, seperti barang-barang rumah-tangga, makanan dan pakaian. Kemudian kami pergi ke sebuah lembah. Rasulullah saw. membawa serta seorang hamba-sahaya pemberian seorang laki-laki dari Judzam, bernama Rifa'ah bin Zaid, berasal dari suku Dhubaib. Ketika kami berhenti di lembah itu, hamba sahaya itu berdiri membuka pelana. Tiba-tiba ia dipanah musuh dan mati seketika. Kami berujar, "Alangkah bahagianya dia mati syahid!" Sabda Rasulullah saw., "Tidak! Sekali-kali tidak! Demi Allah, yang diri Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya api menyala pada baju yang dipakainya, yang dicurinya dari harta rampasan yang belum dibagi." Kata Abu Hurairah melanjutkan, "Kami semua terperanjat mendengar sabda Rasulullah itu. Sementara itu, seorang perajurit datang membawa sepotong tali [yang diambilnya dari harta rampasan yang belum dibagi, lalu menyerahkannya kepada Nabi saw.]" Sabda Nabi saw., '"Tali dari neraka!"
10. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2133.
Dari 'Uqbah bin 'Amir r.a. katanya Nabi saw pernah bersabda mengenai para korban perang Uhud. Beliau naik ke mimbar seolah-olah memberi amanat kepada yang masih hidup dan yang telah syahid. Sabda beliau. "Aku mendahului kalian ke telaga, Lebar telaga itu sejauh antara Ailah ke Juhtah. Aku tidak menyangsikan bahawa kamu akan kembali musyrik sepeninggal ku. Tetapi yang aku takutkan ialah kamu terpengaruh oleh dunia. Kemudian kamu berbunuh-bunuhan dan akhirnya kalian musnah seperti kemusnahan umat yang sebelum kalian." Kata 'Uqbah, "Itulah yang terakhir kali aku melihat Rasulullah saw. berpidato di mimbar."
11. Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1569.
Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Aku pergi berperang bersama-sama Rasulullah saw. Dalam perjalanan beliau menemui ku kerana aku menunggang unta yang kelelahan sehingga hampir tak dapat berjalan. Rasulullah saw. bertanya kepada ku, "Bagaimana untamu?" Jawab ku, "Sakit, ya Rasulullah!" Beliau mundur ke belakang, lalu dibentaknya unta itu dan didoakannya. Semenjak itu unta ku selalu berjalan di muka sekali. Rasulullah saw. bertanya pula kepada ku, "Sekarang bagaimana untamu?" Jawab ku, "Sentiasa dalam keadaan baik, semenjak beroleh berkat dari Anda!" Tanya beliau, "Mahukah engkau menjualnya kepada ku?" Sebenarnya aku malu, di samping aku tidak punya wang yang lain selain hanya unta itu. Jawab ku, "Baiklah, ya Rasulullah!" Unta itu ku jual kepada beliau dengan ketentuan, aku boleh mengenderainya hingga sampai ke Madinah. Kemudian aku minta izin kepada beliau untuk berangkat lebih dahulu ke Madinah, kerana aku akan jadi pengantin. Setelah sampai di Madinah, aku bertemu dengan pakcik ku, lalu dia menanyakan kepada ku perihal unta. Maka ku khabarkan kepadanya apa yang terjadi, tetapi dia mencela tindakan ku. Ketika aku minta izin kepada Rasulullah saw. untuk berangkat lebih dahulu kerana hendak kahwin, beliau bertanya kepada ku, "Dengan siapa engkau hendak kahwin? Dengan gadis atau dengan janda?" Jawab ku, "Dengan janda, ya Rasulullah." Tanya beliau pula, "Mengapa tidak dengan gadis? Engkau dapat bersenda gurau dengannya, dan dia dapat pula bersenda gurau denganmu." Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Orang tua ku telah meninggal (syahid) sedangkan aku mempunyai adik-adik perempuan yang masih perawan-perawan. Sebab itu aku tidak suka kahwin dengan perempuan seusia mereka, kerana tidak akan dapat mendidik dan mengurus mereka. Itulah sebabnya aku kahwin dengan janda, supaya dapat mengurus dan mendidik adik-adik ku." Setelah Rasulullah saw. tiba di Madinah, pagi-pagi ku hantarkan unta itu kepada beliau, lalu beliau memberikan wang harganya kepada ku, dan memberikan unta itu kembali kepada ku."
12. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1863.
Dari Sahal bin Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif, dari bapanya, dari kakaknya, katanya Nabi saw. bersabda: "Siapa yang memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh hendak mati syahid, maka Allah menaikkannya ke tingkatan para syuhada sekalipun kenyataannya dia mati biasa di tempat tidur."
13. Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0113.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu bertanya: "Ya, Rasulullah! Bagaimanakah pendapat Anda jika seseorang datang hendak merampas harta ku?" Jawab Rasulullah saw., "Jangan diberikan, pertahankan!" Tanya: "Jika dia hendak membunuh ku?" Jawab Rasulullah, "Bunuh pula dia!" Tanya, "Bagaimana kalau aku yang terbunuh?" Jawab: "Engkau mati syahid!" Tanya: "Bagaimana kalau dia yang terbunuh?" Jawab Nabi saw., "Dia masuk neraka!"
14. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2117.
Dari Abu Musa r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Aku bermimpi dalam tidurku bahawa aku hijrah dari Mekah ke suatu negeri yang berpohon kurma. Aku menduga bahawa negeri itu ialah Yamamah atau Hajar. Kiranya adalah kota Yatsrib. Dan ku lihat pula dalam mimpi ku itu bahawa aku menghunus sebuah pedang lalu pedang itu patah di tengah. Kiranya itu adalah musibah yang menimpa kaum mukmin dalam peperangan Uhud. Kemudian ku hunus sekali lagi, ternyata pedang itu bagus seperti seperti semula. Rupanya itu adalah kemenangan yang dikurniakan Allah, serta persatuan kaum mukmin. Ku lihat pula dalam mimpi ku itu seekor sapi, dan Allah Maha Baik. Rupanya sejumlah orang-orang mukmin yang syahid dalam medan perang Uhud dan pahala yang diberikan Allah sesudah itu berupa kebaikan, serta pahala kejujuran yang diberikan Allah sesudah perang Badar."
15. Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1855.
Dari Abu Bakar bin Abdullah bin Qais r.a., dari bapanya, katanya dia mendengar bapanya bercerita, bahawa ketika bapanya sedang berhadapan dengan musuh, Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga berada di bawah naungan (kilatan) pedang." Lalu berdiri seorang lelaki sambil menangis, katanya: "Hai, Abu Musa! Apakah Anda pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda seperti itu?" Jawab Abu Musa, "Ada!" Orang itu pergi menemui kawan-kawannya seraya katanya, "Aku mengaturkan salam kepada Anda semua!" Kemudian dibukanya sarung pedangnya lalu dilemparkannya. Sesudah itu, dengan pedang terhunus dia pergi menyerbu musuh, memukul mati dengan pedangnya, setiap musuh yang ditemuinya sehingga akhirnya dia sendiri mati pula terbunuh sebagai syahid."
http://sigir.uitm.edu.my/webhadis/

No comments:

Post a Comment